Latar belakang Pertempuran_Firaz

Pada penghujung 633 M, orang Islam berjaya menguasai lembah Euphrates. Firaz, pangkalan terpencil di pinggir Empayar Parsi yang masih dipertahankan garison Parsi, terletak di dalam lembah ini. Khalid membuat keputusan untuk mengusir Parsi dari pangkalan ini kerana khuatir Parsi akan melancarkan serangan bagi menawan semula wilayah-wilayah mereka. Beliau mara ke Firaz dengan pasukannya dan tiba di Firaz pada minggu pertama Disember 633 M. Firaz merupakan sempadan antara dua empayar besar, Empayar Byzantine dan Empayar Sasan, kedua-dua empayar mempunyai garison di sana. Byzantine memutuskan untuk membantu Parsi menghadapi ancaman daripada tentera Islam, dan kekuatan angkatan gabungan Byzantine dan Parsi serta kerajaan ufti Arab Kristian mereka sekurang-kurangnya sepuluh kali ganda kekuatan Muslim. Jeneral Byzantine sangat yakin dengan kekuatan barisan tentera gabungan ini dan menghantar utusan kepada Khalid dan menuntut Khalid menyerah kalah. Khalid menjawab bahawa beliau akan menjawab tuntutan angkatan gabungan di medan tempur.[4]